0
Bismillahirrahmanirahim...

Mengajar si manja anda untuk berkongsi memang mencabar, tetapi tiada yang mustahil jika dilakukan dengan betul. Oleh Dr Yen Teck Hoe, Pakar Perunding Psikiatri

Meminta si manja anda untuk berkongsi mainannya mungkin sukar sebagaimana memintanya makan sayur. Tidak kira apa yang anda kata, dia tetap tidak akan menukar keputusannya. Keadaan menjadi lebih teruk jika anda memaksanya melepaskan mainan, menyebabkan dia mula buat perangai sebagai tanda bantahan. Semua kanakkanak tidak suka berkongsi sesuatu yang disayangi mereka, sebab itulah sedikit pujukan diperlukan untuk memintanya berkongsi barangan miliknya.
Ini Bukan Saya Punya… Ini KITA Punya!

Jangan paksa dia!

Si kecil anda yang berusia 2 tahun mengadu kepada anda sambil menangis kerana abangnya, yang berusia empat tahun, enggan berkongsi mainan kereta api dengannya. Anda minta anak sulung anda mengalah, tetapi dia mengabaikan kata anda. Jadi anda merampas kereta api daripadanya, menjerit atau menghukumnya untuk menunjukkan anda tidak setuju dengan kelakuannya dan memberikan kereta api kepada adiknya. Anak sulung anda mungkin tiada pilihan untuk mengalah tetapi paksaan tidak akan memupuk sifat suka memberi di dalam diri anak anda. Malah ini mungkin menyebabkannya langsung tidak suka berkongsi dengan adik-beradik atau rakan taulannya.

Sebenarnya anda berlaku tidak adil kerana meminta anak anda yang lebih tua untuk berkongsi dengan adik mereka, kerana adik sentiasa mahukan apa yang dimainkan oleh abang dan kakaknya. Walaupun anak anda yang berusia 2 tahun mahu bermain kereta api, tiada sebab abang harus memberikan mainannya kepada adik. Mengajar adikberadik menghormati hak milik satu sama lain adalah sama penting dengan sifat suka memberi dan berkongsi yang cuba anda terapkan.

Biar mereka selesaikan sendiri

Jika anak anda sedang merebut mainan, jangan masuk campur mahupun cuba selesaikan masalah. Ini sering membawa kepada situasi yang menguntungkan satu pihak dan membuatkan salah seorang daripada anak anda terasa sedih. Tambahan lagi, anak anda akan bergantung kepada anda untuk menyelesaikan masalah mereka. Jika keadaan tidak lagi terkawal, atasi masalah dengan menyalahkan keduadua pihak dan jangan salahkan hanya satu. Galakkan anak anda mencari penyelesaian sendiri sambil memegang mainan untuk mereka. Terangkan dengan jelas bahawa melainkan mereka membuat keputusan untuk bermain dengan baik bersama, mereka tidak akan mendapat balik mainan itu.

Segala-galanya memerlukan masa…

Anda tidak boleh membuat sesuatu perubahan dalam jangka masa yang singkat, namun begitu, ada langkah yang perlu anda ambil untuk membantu anak anda belajar cara berkongsi dan bersifat murah hati.
  • Jadi suri teladan. Kanak-kanak bijak memerhati dan sering mencontohi apa yang anda lakukan. Kalau boleh, cari peluang berkongsi dengan rakan anda atau ahli keluarga lain, sambil menerangkan proses dengan jelas.
  • Ajar anak anda berkongsi dengan berkongsi dengannya. Cuba main permainan ‘minta dan pulangkan’ bersama anak anda. Jika anak anda mempunyai mainan kesayangan, anda boleh minta baik-baik daripadanya untuk memegang mainan itu selama seminit. Apabila si manja memberikannya kepada anda, pegang atau main dengan mainan kesayangannya dan kemudian pulangkan. Pastikan anda hanya memegang mainan untuk beberapa saat sebelum memulangkannya. Lakukannya beberapa kali supaya dia boleh melihat bahawa walaupun dia memberikan mainan buat seketika, dia tidak kehilangannya, dan ini akan membuatkannya lebih sanggup untuk berkongsi mainan dengan orang lain pada masa depan.
  • Beri pujian bila mereka berkelakuan baik! Iktiraf dan beri pujian apabila anak anda melakukan sesuatu yang baik atau berkongsi dengan seorang rakan. Jika anda berkata, “Saya suka tengok awak berkongsi mainan dengan Ali”, ini akan membuatkan anak anda ingin mendapatkan perhatian daripada ibunya dan mungkin mahu melakukan perkara yang sama sekali lagi.
Berkongsi bukan perkara yang mudah dilakukan oleh si manja anda, tetapi dengan bimbingan anda dan sedikit kesabaran, anda boleh menanam semangat suka memberi dan kesanggupan berkongsi. Segala-galanya memerlukan masa dan latihan, tetapi belajar berkongsi tidak mustahil jika anda melakukannya dengan cara yang betul!

Minta, jangan rebut!
Anda tidak harus merampas mainan daripada tangan kanak-kanak. Ini bukan sahaja membuatkannya enggan melepaskan mainan pada masa depan, tindakan ini juga mengajarnya menjadi lebih kasar. Jika anda mengambil barangan daripada anak anda dengan kekerasan, mereka akan melakukan perkara yang sama apabila mereka mahukan sesuatu pada masa depan.

Post a Comment

 
Top