Bismillahirrahmanirahim...
Terjumpa artikel ni, tak ingat di mana so Happy Reading yer >_-
Beruntunglah wanita yang mempunyai suami penyayang dan sanggup menguruskan kerja rumah ketika isteri berpantang. Bantuan suami bukan saja penting untuk kesihatan mindanya, tetapi dapat memberi peluang isteri berehat selepas menjalani satu tempoh tekanan yang panjang.
Tidak ramai tahu kehamilan memberi banyak tekanan kepada badan wanita. Malah, pada masa sama wanita juga boleh mengalami tekanan emosi, terutama jika kehamilan itu tidak dikehendaki.
Sedar atau tidak, kehamilan membawa banyak perubahan fizikal dan emosi kepada wanita. Selepas bersalin, ramai wanita lebih memberi tumpuan kepada bayi dan suami sehingga kadangkala ada yang lupa mengambil berat kesihatan diri sendiri.
Berpantang memberi peluang kepada wanita untuk berehat secukupnya kerana kehamilan boleh menyebabkan beberapa gangguan kepada fungsi asal badan. Ini sebabnya setiap pasangan disaran merancang keluarga yang bukan saja baik untuk bayi, bahkan demi kepentingan wanita sendiri.
Dr Ho berkata, jika dulu masalah sukar mengawal kencing hanya berlaku pada wanita yang banyak kali bersalin, terutama selepas berumur 40 tahun ke atas, kini semakin ramai wanita muda mengalaminya, walaupun baru ada seorang anak.
Kira-kira lima hingga 30 peratus wanita mengalaminya akibat bersalin secara normal, manakala 60 peratus lagi disebabkan proses penuaan, terutama selepas menopaus. Dianggarkan 11 peratus wanita berumur 70 tahun ke atas menjalani pembedahan akibat kejatuhan rahim atau masalah kencing tidak lawas.
Wanita boleh mengalami masalah sama ada kencing tidak lawas atau tidak dapat mengawal kencing. Ada kalanya kedua-dua masalah berlaku serentak akibat kelemahan otot pundi kencing, sekali gus memaksa wanita kerap pergi ke bilik air. Ia menyebabkan wanita terkencing sedikit setiap kali bersin, batuk atau cuba bangun selepas lama duduk.
Kekal sihat dan cantik
Dr Ho berkata, antara cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah sampingan akibat kejatuhan rahim ialah melalui senaman Kegel (kemut). Namun bukan semua wanita (walaupun berkahwin) tahu otot mana perlukan senaman ini.
Caranya mudah, iaitu dengan membuat kemutan ketika buang air kecil bagi menghentikan aliran air kencing. Otot ini yang perlu ‘dikuatkan’ semula. Setiap wanita disaran melakukan senaman kemut ini sebanyak 50 kali sehari sepanjang hayat.
Ia senaman mudah dan boleh dilakukan bila-bila masa tanpa diketahui orang lain. Malah, ia juga baik untuk diamalkan wanita mengandung untuk menguatkan otot vagina dan memudahkan proses bersalin.
Ramai wanita mengadu mengalami masalah berat badan berlebihan selepas melahirkan anak. Tempoh berpantang adalah waktu terbaik untuk mengurangkan berat badan. Caranya mudah iaitu dengan hanya berjalan 20 hingga 30 minit sehari dan boleh dimulakan dua minggu selepas bersalin.
“Bagaimanapun, jangan berdiet kerana ibu dan bayi sama-sama memerlukan banyak khasiat pemakanan. Elakkan juga berdiri terlalu lama kerana kesan graviti menyumbang kepada masalah rahim jatuh,” katanya dalam ceramah kesihatan anjuran bersama Institut Pengurusan Wanita (WIM) dan Schering (M) Sdn Bhd.
Wanita selepas bersalin juga kerap mengalami masalah sakit pinggang atau belakang yang kadangkala berlanjutan sepanjang hayat. Mengamalkan postur (posisi) badan baik ketika duduk atau bekerja juga dapat mengelakkan masalah sakit belakang.
Selain itu, wanita berpantang juga diingatkan supaya tidak mengangkat benda berat. Katanya, benda paling berat yang boleh diangkat ialah bayi anda. Senaman lain yang lebih lasak seperti berbasikal (statik atau bergerak) dan berenang hanya boleh dilakukan selepas enam bulan bersalin.
Namun paling penting ialah mengekalkan kesihatan minda dan emosi dengan merancang keluarga iaitu menjarakkan kehamilan antara dua hingga tiga tahun. Kata Dr Ho, banyak masalah emosi dan minda berpunca daripada kehamilan yang tidak dikehendaki sehingga ada wanita nekad menggugurkan bayi, walaupun bersuami.
Pengguguran bukan cara merancang keluarga. Wanita yang menggugurkan anak berisiko tinggi mengalami pelbagai komplikasi seperti trauma emosi, keresahan, mengandung luar rahim, pendarahan berlebihan dan jangkitan.
Malah, pengguguran yang tidak dijalankan dengan berhati-hati boleh menyebabkan pendarahan berlebihan serta rahim berlubang. Lebih parah jika wanita berkenaan tidak dapat mengandung pada kemudian hari yang akan menyebabkannya diburu rasa bersalah sepanjang hayat.
Semoga bermanfaat.
Comments